Beliau berhijrah dari kampung dengan meninggalkan segala kepentinganya di perumahan banjir untuk mengadu nasib sebagai peneroka kerana yakin Felda akan memberi sinar baru dalam kehidupannya sekeluarga tetapi malang....
Oleh BASIRON ABDUL WAHAB
BANDAR JENGKA, 9 Nov (Hrkh) - Andainya diadakan pertandingan bagi mencari siapakah peneroka Felda paling malang di kalangan 112,000 orang peneroka di seluruh negara, tidak syak lagi Kamaruddin Jali, peneroka daif dari Felda Tanjung, Jengka 20, mungkin muncul sebagai pemenang.
Kamaruddin 53, peneroka Felda Tanjung meninggalkan kampung halamanya di Tebing Tinggi, Jerantut untuk menjadi peneroka di Felda berkenaan sekitar tahun 1980 dengan azam untuk meningkatkan taraf hidupnya.

Beliau berhijrah dari kampung dengan meninggalkan segala kepentinganya di perumahan banjir untuk mengadu nasib sebagai peneroka kerana yakin Felda akan memberi sinar baru dalam kehidupannya sekeluarga tetapi malang....Di situ bermula eposid kehidupanya sebagai peneroka sama seperti peneroka lain, beliau diberi tanah ladang getah seluas 10 ekar, sebidang tanah untuk tapak rumah seluas 0.25 ekar dan sebuah rumah. Berapa jumlah hutang yang mesti dibayar kepada agensi terbabit tidak pernah diketahuinya beliau tekun menyerjakan ladang sama seperti peneroka lain. Sebagai peneroka beliau mendapat beberapa kemudahan seperti kredit barang makanan di Kedai Felda dan menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) serta Koperasi peneroka di Felda berkenaan.
Bagaimanapun kegembiraanya menjadi peneroka tidak kekal lama, pada tahun 1993, beliau menerima sepucuk surat (Borang B) iaitu notis sebelum pengambilan kawasan pegangan kerana didakwa melanggar atau tidak mematuhi syarat-syarat penempatan.

Kamaruddin diberi masa 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh di singkirkan daripada Felda Jengka 20. Beliau menjawabnya tetapi jawapan beliau mungkin gagal memuaskan hati pengurusan menyebabkan beliau di singkir daripada Felda berkenaan pada 20 Oktober 1993. Ekoran itu beliau diarah mengosongkan rumahnya selewat-lewatnya pada 3 November 1993. Untuk penyikiran ini Kamaruddin tidak mendapat apa-apa pampasan. Segala penat lelah dan hutang yang pernah dibayarnya kepada Felda selama 13 tahun tidak diambil kira.
Pada 20 Oktober 2005 lalu, genaplah sudah 12 tahun Kamaruddin di singkir dari Felda berkenaan, tetapi dalam tempoh 12 tahun itu Kamaruddin tetap mempertahankan haknya dan terus mendiami rumahnya No 343, Felda Jengka 20 sehinggalah ke hari ini.

Beliau masih mengaku dirinya sebagai peneroka Felda Tanjung walaupun ladangnya telah dirampas dan haknya sebagai peneroka telah dicabut. Malah hasratnya untuk membaiki rumah tidak dibenarkan oleh pengurusan Felda. Akibatnya beliau terpaksa tinggal dirumah yang hampir roboh, jauh berbeza daripada rumah peneroka lain yang telah membaiki rumah masing-masing. Bagi Kamaruddin, beliau tidak pernah mengiktiraf penyingkirannya kerana berpendapat beliau tidak melakukan kesalahan sebagaimana mana didakwa, apatahlagi lagi beliau tidak pernah didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah dan dakwaan Felda hanyalah suatu pertuduhan sebelah pihak dan tidak pernah diadili di mahkamah.
"Felda membuat tuduhan, Felda menyediakan bukti dan Felda juga yang menjatuhkan hukuman, saya terpaksa menerima padahnya kerana terpaksa merempat di tempat sendiri tanpa perbicaraan yang adil dan saksama.
"Jika seorang penjenayah kejam sekalipun, mereka didakwa di mahkamah, disedia khidmat guaman oleh kerajaan (jika penjenayah terbabit tidak mampu mendapatkan peguam sendiri) untuk dibicara dihadaan seorang hakim, tetapi saya tidak melalui proses perundangan itu," keluhnya.
Justeru, Kamaruddin menuntut beliau diberi keadilan sebagai rakyat yang dijamin dibawah perlembagaan Malaysia yang menjamin haknya sebagai warga negara dan dibicara secara adil serta diberi peguambela untuk membelanya.
"Saya telah lama terseksa, hak saya dirampas dan kini saya tidak punya apa-apa, hidup menumpang di rumah ini, harta di kampung pun sememangnya tidak ada saya tidak tahu ke mana hendak pergi jika keluar daripada rumah ini," katanya sayu.
Beliau mendakwa, selain beliau ramai lagi peneroka lain di Felda berkenaan yang turut menerima surat tunjuk sebab sepertinya tetapi mereka tidak disingkir kerana faktor yang tidak diketahuinya malah ada daripada mereka yang menggunakan khidmat guaman menentang arahan penyingkiran.
"Saya tidak ada wang untuk membayar peguambela akibatnya saya disingkir, rayuan saya juga tidak berhasil," ujarnya sedih.
Kedaifan rumah Kamaruddin amat ketara, rumahnya seperti menunggu masa untuk roboh, beliau juga tidak mendapat bekalan air kerana bekalan air telah lama dipotong tetapi bekalan eletrik telah disambung semula atas ehsan orang ramai yang membantunya menyelesaikan tunggapan bil dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Untuk mandi, keluarga besar ini yang mengandungi sembilan orang anak terpaksa menggunakan perigi yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumahnya. Di situ la mereka mandi, membasuh pakaian dan sebagainya.
Baru-baru ini, Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menziarahi keluarga Kamaruddin dan menghulurkan sedikit bantuan peribadi sempena Aidil Fitri.
Dalam reaksinya, Dato' Tuan Ibrahim berharap pihak pentadbiran Felda dapat mencari jalan terbaik untuk menyelamat anak-anak Kamaruddin yang tidak bersalah dan tidak terlibat dengan masalah ayah mereka.
"Andainya Kamaruddin didakwa bersalah dan disingkirkan daripada penempatan Felda, tetapi anak-anak Kamaruddin wajar dipertimbangkan untuk diiktiraf sebagai peneroka menggantikan ayahnya, Ini kerana mereka sememang tiada tempat untuk pergi selain daripada rumah NO 343 itu.
"Saya difahamkan Kamaruddin sememangnya tidak mempunyai sebarang harta di kampung asalnya, sebab itulah beliau terus mendiami rumah itu sekalipun telah diarah keluar sejak 12 tahun lalu," katanya.
Tuan Ibrahim berharap kisah Kamaruddin ini mendapat perhatian pihak berkuasa dan pengurusan Felda khususnya di peringkat tertinggi agensi terbabit.
Harakah difahamkan selain Kamaruddin terdapat beberapa kes lain membabitkan peneroka di Felda berkenaan, bagaimanapun mereka bernasib baik kerana rayuan untuk menukar panama sama ada kepada isteri atau anak dipertmbangkan pihak pengurusan.
Tulisan ini di ambil dari http://harakahdaily.net/article.php?sid=16701&mode=thread&order=0
Blogger tiada sebarang tujuan politik atau kepentingan peribadi dalam menyiarkan tulisan ini. Hanya sekadar renungan pembaca dan simpati kepada mangsa. Terima Kasih